BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 1 June 2011

16 Fakta Menakjubkan Bayi baru lahir


16 Fakta Tentang Bayi Baru Lahir Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

  1. Bayi baru lahir secara genetiknya mempunyai deria bunyi yang kuat. Boleh membezakan bunyi-buyian dan boleh mengenali suara ibu serta merta semasa dilahirkan
  2. Bayi tiada kepala lutut. Ia tidak membentuk sehinggalah bayi berusia 6 bulan
  3. Bayi tiada air mata. Mereka menangis dan menjerit tetapi air mata sebenar tidak wujud sehinggalah bayi berusia 5 minggu. 
  4. Mereka mempunyai lebih tulang. Orang dewasa mempunyai 206 dan bayi pula 300 tulang. Kebanyakan dari tulang tersebut bercantum semasa bayi membesar.
  5. Empat dari 10 bayi mempunyai tanda lahir.
  6. Bayi mempunyai deria bau yang kuat. Boleh mengenali bau badan ibu sebaik dilahirkan.
  7. Penglihatan bayi kabur sebaik sahaja dilahirkan.
  8. Rambut bayi yang tumbuh semasa dalam rahim ibu akan gugur beransur ansur dan digantikan sepenuhnya oleh rambut baru apabila berusia 6 bulan.
  9. Deria rasa bayi masih tidak berbentuknya sepenuhnya semasa lahir. Tidak boleh membezakan rasa seperti manis atau masin dengan baik.
  10. Jantung bayi baru lahir berdenyut diantara 120-160 degupan seminit berbanding dengan degupan jantung orang dewasa iaitu 60-80 seminit.
  11. Bayi bernafas lebih cepat iaitu 30-50 nafas seminit berbanding dengan orang dewasa 16-20 nafas seminit.
  12. Berat bayi bertambah 2 kali ganda dari berat semasa lahir pada usia 6 bulan.
  13. Mendengarkan music klasikal menambah kepintaran bayi.
  14. Bayi baru lahir tidur 15-20 jam sehari.
  15. Bayi cuma mempunyai satu lapisan kulit sebab itulah ia akan alah dan kemerahan dengan senang kepada losyen wangi, sentuhan kasar, gigitan serangga dan sebagainya.
  16. Bayi mempunyai kebolehan menyelam sebaik dilahirkan tetapi kebolehan tersebut akan hilang dengan cepatnya.

Tip Penyusuan Susu Botol

Tip Penyusuan

Pastikan anda mematuhi arahan yang diberikan dengan hati-hati. Terdapat tarikh luput pada susu formula tersebut. Jangan guna selepas tarikh tersebut kerana ia tidak lagi selamat digunakan.
  1. Basuh dengan cermat botol susu plastik atau kaca termasuk juga alatan yang digunakan untuk menyediakan susu. Kalau boleh, gunakan air panas yang bersabun dan basuh dengan air paip yang bersih. Kemudian rebus selama lima minit dalam periuk khas atau sterilizer.
  2. Untuk menyediakan susu formula, panaskan air selama 5 minit dan sejukkan ia sebelum mencampurkan dengan susu debu tadi. Anda boleh menyimpan didalam peti sejuk dan gunakan ia dalam masa kurang dari 48 jam.
  3. Panaskan susu dengan meletakkannya dalam air panas. Jangan panaskan dengan mengunakan oven microwave. Ia boleh menjadi terlalu panas.
  4. Pastikan anda mengoncang botol susu dan titikan beberapa titik susu pada pergelangan tangan anda. Sekiranya ia suam, ia sesuai untuk diberikan kepada bayi anda.
  5. Semasa memberi susu, pastikan kepala bayi sedikit tinggi dari badannya. Semasa memegang botol, pastikan bahagian puting penuh dengan susu supaya bayi tidak menelan terlalu banyak udara.
  6. Jangan sesekali sandarkan botol susu kerana bayi anda boleh tersedak dan lemas. Sentiasa pegang bayi anda semasa memberi susu.
  7. Buang susu yang tertinggal selepas menyusu
  8. Masa menyusu buka sahaja untuk menghilangkan lapar bayi, malahan ia adalah masa untuk bayi bermanja dengan anda dan peluang anda untuk mengenali bayi anda dengan lebih baik.

    Monday 23 May 2011

    Pemakanan ibu menyusukan bayi

    Ibu yang menyusu memerlukan minimum 1,800 kalori sehari. Jika dia menyusukan bayi kembar, keperluan kalori itu bertambah. Walau bagaimana pun keperluan ini juga bergantung kepada kadar metabolisme, berat badan dan juga aktiviti ibu. Selera ibu adalah panduan terbaik pada keperluan tenaga. Jika berat badan anda kurang antara satu ke empat paun dalam sebulan dalam tempoh menyusukan bayi, itu tandanya anda tidak menikmati makanan dengan secukupnya.

    Wanita yang terlebih berat atau wanita yang berat badannya bertambah dengan banyak ketika hamil, mungkin boleh mengurangkan empat hingga enam paun dalam sebulan tanpa menjejaskan produksi susu untuk bayi. Tetapi menjadi kembali langsing dalam tempoh yang drastik sepatutnya dielakkan bagi ibu yang menyusukan bayi.

    Protein - Keperluan protein bertambah ketika menyusukan bayi. Tetapi pastikan anda memasukkan pengambilan protein yang secukupnya. Protein harus ada dalam dua kali pengambilan makanan sehari. Daging, ikan, kacang, tofu, telur dan produk rendah lemak adalah sumber protein terbaik.

    Kalsium - Keperluan kalsium ketika menyusukan bayi banyak tersimpan ketika hamil jika anda mengambil sekurang-kurangnya tiga atau empat makanan berkalsium setiap hari.

    Cecair - Penghasilan susu badan memerlukan air. Minum sekurang-kurangnya lapan ke 10 cawan air setiap hari. Tetapi elakkan pengambilan minuman kafien kerana ia akan mengalirkan menerusi susu dan memberi kesan pada bayi.Makan makanan atau snek secara tetap dan makan pelbagai makanan. Cuba masukkan senarai ini dalam diet anda setiap hari; susu, keju atau yogart, daging,ikan, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Sunday 24 April 2011

    Gaya Tidur Bayi

    Pengenalan
    Pada keseluruhannya, bayi akan lebih tidur pada waktu siang dan malam hari, ia hanya akan terjaga apabila tiba waktu makan. Bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan siang atau malam dan boleh tidur dalam purata 16 jam sehari, 2-4 jam terus menerus di antara waktu makan.
    Gaya Tidur
    Setiap bayi mempunyai keunikan gaya tidur secara tersendiri.
    • Bayi yang baru lahir pada keseluruhannya akan tidur 16-20 jam sehari dan terjaga apabila tiba waktu makan.
    • Masa terpanjang untuk bayi tidur selalunya 4-5 jam bergantung kepada daya tahan lapar.
    • Tiada jadual tidur yang tetap untuk bayi yang baru lahir. Pada biasanya, bayi akan mula mengenali waktu malam ketika berumur 3 bulan. Lebih kurang 90% bayi pada peringkat ini akan tidur sepanjang malam, iaitu 6-8 jam.
    • Kadangkala bayi akan menangis atau membuat bunyian jika tidak nyenyak tidur. Mereka akan terbangun dengan sendirinya semasa tidur di waktu malam. Ibubapa tidak perlu risau pada ganggguan ini kerana bayi perlu belajar untuk berada dalam keadaan ini.
    • Sekiranya bayi anda menangis berterusan selama beberapa minit, anda perlu memberi perhatian. Bayi mungkin lapar, basah, sejuk, tidak sihat atau sakit. Beri perhatian dengan segera tanpa perhatian yang berlebihan kerana bayi perlu meneruskan tidurnya.
    Posisi Tidur
    American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah "TIDUR TERLENTANG" dan bukan meniarap atau mengiring. Kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS) telah berkurangan ke 50% semenjak posisi tidur ini dicadangkan pada tahun 1992. Posisi ini dikecualikan pada bayi yang cacat di bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat penafasan.
    Tempat Tidur
    Cadangan tempat tidur bayi :
    • Tidurkan bayi secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini.
    • Jangan menggunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada isian dan pengadang katil yang tidak selamat.
    • Jika menggunakan selimut, posisikan kaki bayi di penghujung palang katil.
    • Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya.
    • Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur.
    • Jangan tidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut.
    • Pastikan bayi memakai pakaian yang nipis semasa tidur dengan suhu bilik yang sesuai.
    • Elakkan menyelimut bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.
    • Bayi sepatutnya tidur terlentang. Bayi boleh di tiarapkan ketika jaga untuk perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.
    Mengikut laporan, bayi yang berkongsi katil dengan orang lain boleh membahayakan bayi tersebut. Ikutilah panduan-panduan berikut:-
    • Letakkan katil bayi berdekatan dengan katil ibubapa untuk memudahkan penyusuan ibu dan sentuhan.
    • Sekiranya ibu memilih untuk menyusukan bayi di atas katil, pastikan bayi tidak tidur dalam posisi meniarap di permukaan tilam yang lembut atau cadar yang tidak kemas/longgar. Katil perlu dijauhkan dari dinding dan perabot untuk mengelakkan bayi daripada tersepit.
    • Orang dewasa selain dari ibubapa, anak-anak yang lain tidak boleh berkongsi tempat tidur dengan bayi.
    • Ibu atau bapa yang memilih untuk berkongsi tempat tidur dengan bayi tidak boleh merokok, menggunakan dadah atau mengambil alkohol yang akan membahayakan penjagaan bayi.
    Membantu Bayi Tidur
    Anda boleh menidurkan bayi anda dengan mengenalpasti masa yang sesuai untuk tidur dan menyediakan tempat tidur yang selesa dan selamat.
    • Hindarkan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin.
    • Gelapkan bilik dan pastikan bilik adalah selesa dan senyap.
    • Pakar menasihatkan agar bayi dipangku sebelum tidur dan dialih ke katil sebelum bayi tidur. Dengan cara ini bayi akan belajar tidur dengan sendiri.
    • Memainkan muzik yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur, dengan muzik ia boleh membentuk jadual tidur berkala.

    Wednesday 20 April 2011

    Detik penting dalam perkembangan bayi: Pertumbuhan gigi

    Pertumbuhan gigi 

    Pertumbuhan gigi bukan suatu tahap perkembangan yang dicapai oleh bayi sekaligus. Peralihan dari senyuman bergusi ke sebuah mulut penuh dengan gigi adalah perjalanan yang akan mengambil masa tiga tahun pertama anak anda. 


    Perjalanan itu bermula dari dalam rahim lagi. Ketika anda mengandung, kudup gigi bayi anda telah berkembang, ianya asas bagi gigi bayi (juga dikenali sebagai gigi susu). Kudup-kudup itu akan menembusi permukaan gusi di antara usia tiga bulandan 12 bulan. 


    Anda biasanya akan melihat gigi pertamanya – tanda yang bayi anda sedang membesar – pada sekitar usia enam bulan, di mana ia biasanya masa diet dia mula merangkumi makanan pejal. 


    Apabila dia mencapai usia tiga tahun, dia sudah ada sebuah mulut yang dipenuhi gigi yang dia boleh berus (dengan sedikit bantuan daripada anda) – satu langkah asas ke alam penjagaan diri. 

    Bila ia berkembang 

    Satu daripada 2,000 bayi dilahirkan dengan sebatang gigi atau dua! Tetapi majoriti bayi tumbuh gigi pertama mereka pada usia enam atau tujuh bulan. Bagi bayi yang cepat tumbuh gigi, puncak putih (biasanya gigi kacip atau insisor tengah yang terletak di rahang bawah) akan muncul seawal bulan ketiga, sementara bayi yang lambat pertumbuhan gigi mungkin perlu tunggu sehingga dia berusia hampir setahun. 


    Gigi yang terakhir (gigi geraham kedua, terdapat di bahagian dalam rahang atas dan bawah) biasanya sudah tumbuh menjelang tahun kedua. 


    Pada usia tiga tahun, anak anda sepatutnya sudah memiliki set lengkap 20 gigi bayi. 

    Bagaimana ia berkembang 

    Untuk kebanyakan bayi dan ibu bapa, ketibaan gigi pertama tidak menyeronokkan, dan ia boleh menjadi proses yang panjang. Simptom awalnya – yang termasuk berlebihan air liur meleleh dan rasa sakit yang agak teruk — selalunya bermula selama sebulan atau dua sebelum acara kemuncak. 


    Anda mungkin terpaksa berjaga malam untuk menenangkan seorang kanak-kanak yang sedang menunggu giginya menembusi gusi. Untuk mengurangkan kesengsaraannya, bayi anda akan mula menggigit, tetapi bukan kerana kemarahan atau keganasan. Memberikan sesuatu untuk digigitnya atau gosokkan gusinya dengan jari anda boleh meringankan kesakitan. 


    Gusi boleh menjadi bengkak apabila gigi hendak muncul, ia akan menyebabkan pipi anak anda kelihatan lebih besar. Walaupun sesetengah ibu bapa mendakwa bahawa anak mereka akan demam atau cirit-birit semasa gigi hendak muncul, kebanyakan pakar setuju bahawa pertumbuhan gigi tidak mengakibatkan penyakit. Barangkali anak anda sedang menghidap demam selesema, flu atau ada masalah sakit perut, jadi bawalah dia berjumpa dengan doktor. 


    Untuk mereka yang bernasib baik, pertumbuhan gigi adalah proses pengubahsuaian mulut yang agak tidak menyakitkan. Satu minggu bayi anda tersengih tanpa gigi, dan minggu yang satu lagi ternampak puncak putih bergerigis pada permukaan gusinya. Raikanlah gigi pertamanya dengan menangkap banyak gambar, dan catatkan tarikh ketibaannya di dalam buku bayi anda. 


    Gigi tumbuh dengan berturut-turut, mula-mula yang di depan sebelah bawah, kemudian yang di tengah sebelah atas, diikuti yang di tepi dan belakang. Pertumbuhan gigi adalah mengikut keturunan, jadi jika anda mendapat gigi anda awal, barangkali anak anda akan sama juga. 

    Apa perkembangan seterusnya 

    Gigi bayi tidak akan tercabut sehingga gigi tetap anak anda sudah bersedia untuk tumbuh, iaitu sekitar usia enam tahun. 

    Bagaimana anda boleh bantu 

    Anda tidak dapat lakukan apa-apa untuk membuat gigi muncul, tetapi anda boleh menolong mengurangkan kesakitannya bila proses itu bermula. Pertama, beri anak anda sesuatu untuk dikunyah, seperti gegelang gigit yang disimpan dalam peti sejuk. Dia juga boleh mendapatkan sedikit kelegaan dari memakan makanan sejuk, seperti puri epal atau yogurt, terus dari peti sejuk. 


    Jika bayi anda benar-benar dalam kesakitan, anda boleh berikan paracetamol kanak-kanak dalam dos yang ditetapkan. Jika anak anda demam, atau tidak dapat ditenangkan, jumpa doktor anda – dia mungkin menghidap infeksi telinga atau penyakit yang lain. 


    Apabila giginya sudah tumbuh, ia terpulang pada anda untuk memastikan kebersihannya. Untuk tahun yang pertama, anda tidak perlu betul-betul memberus giginya, tetapi cubalah bersihkannya sekurang-kurangnya sekali sehari, mungkin sebagai sebahagian daripada rutin waktu tidurnya. Anak anda mungkin tidak suka berus dimasukkan ke dalam mulutnya, sebaliknya lapkan gusi dan giginya dengan mengunakan kain bersih sahaja. 


    Anda juga tidak harus menidurkan anak anda dengan botol susu. Susu tepung dan susu badan boleh mengumpul di dalam mulut bayi anda waktu tidur dan mengakibatkan penyakit yang dikenali sebagai kerosakan gigi botol bayi. 


    Semak dengan doktor atau doktor gigi sama ada anda perlu memberikan anak anda fluorida (titis pembasmi kaviti ini hanya diperlukan jika anda tinggal di kawasan yang sumber airnya tidak ditambahkan florida). 


    Pada sekitar usia 18 bulan, anak anda mungkin sudah bersedia untuk belajar memberus giginya sendiri. Anda harus menolong dan memeriksa sama ada dia telah memberus dengan berkesan untuk beberapa tahun lagi, tetapi ia adalah kebiasaan yang baik untuk dimulakan. Tunjukkan cara untuk menggerakkan berus pada giginya. Gunakan berus yang lembut dan setitik sahaja ubat gigi. Anda tidak perlu memberus mengikut sesuatu arah yang tertentu, hanya perlu keluarkan cebisan makanan dan bersihkan permukaan gigi dan gusi. 


    Jika anak anda tidak suka pada rasa ubat gigi, cubalah jenama yang lain, ataupun lupakannya sama sekali. Anda tidak memerlukan ubat gigi kecuali jika diet anak anda mengandungi banyak makanan bergula – yang anda harus elakkan juga. Jika dia ada menikmati gula-gula, misalnya semasa di majlis harijadi, pastikan dia memberus giginya sejurus selepas makan, atau galakan dia mengakhiri hidangannya dengan makanan masin seperti sekeping keju. 


    Sekitar harijadinya yang ketiga, buat temujanji dengan doktor gigi anda supaya anak anda dapat membiasakan diri dengan proses pemeriksaan gigi. 

    Bila harus bimbang 

    Bayi pramatang mungkin akan mendapat gigi mereka lambat beberapa bulan. Jika anda masih tidak nampak sebarang tanda kemunculan gigi pada penghujung tahun pertamanya, bangkitkan perkara ini semasa pemeriksaan doktor yang akan datang. 
    Jika anak anda ada semua tanda-tanda pertumbuhan gigi – air liur meleleh, gusi bengkak – tetapi juga kelihatan dalam kesakitan yang melampau (tangisan yang tidak dapat diredakan adalah petunjuk yang utama), jumpa doktor anda. Pertumbuhan gigi tidak harus menyiksakan seorang bayi.

    Tips Memberi Susu Formula kepada Bayi

    Apabila anda ingin memberikan susu formula kepada bayi, sebaiknya anda bertanya kepada doktor atau pakar penyusuan tentang susu formula yang baik bagi bayi anda.
    Walau apa jenis susu formula yang anda gunakan, pastikan anda membaca labelnya dengan teliti. Teliti juga pada tarikh luputnya setiap kali membuat pembelian. Jangan sampai anda membeli susu yang sudah 'expired'!
    Kemudian, pastikan juga botol dan segala peralatan membuat susu adalah bersih. Cuci botol, puting, sudu dan alatan-alatan lain dengan baik sebelum menggunakannya. Kemudian bilas botol tersebut dengan baik. Seeloknya rebus peralatan tersebut selama lebih kurang 5 minit dalam bekas yang tertutup.
    Untuk menyiapkan susu, rebuslah air dan biarkan hingga mendidih sekitar 5 minit. Sejukkan sedikit air panas tersebut sebelum mencampurkannya dengan susu formula. Ketika memberi susu formula kepada bayi, pastikan kedudukan kepala anak anda lebih tinggi daripada perutnya. Jangan sekali-kali menegakkan botol susu, takut-takut bayi pula tersedak. Selalulah menmeluk atau meribakan bayi anda ketia memberi susu formula dan buangkan susu yang selebihnya setelah selesai.
    Pemberian susu formula kepada bayi ini sebenarnya lebih dari sekadar untuk menghilangkan rasa lapar bayi. Dengan meluangkan waktu untuk memberikan susu botol kepada bayi anda, itu sahaja sudah membuktikan anda sedang meluangkan waktu untuk menjalin ikatan yang erat sekaligus belajar mengenalnya dengan lebih jauh.
    Malah, anggota keluarga lain juga boleh memberikan susu kepada bayi anda untuk menjalinkan ikatan dengan bayi dan juga bermain dengannya.
    Namun ingat, susu ibu juga yang terbaik bagi bayi anda. Sebolehnya, bagi ibu-ibu yang memberikan susu botol kepada anak anda, berilah juga susu ibu di waktu malam kerana masa anda lebih terluang di waktu itu. Mudah-mudahan dipermudahkan.

    Penyusuan Susu Ibu

    TEMPAT PENYIMPANAN SUSU IBU

    Susu ibu yang disimpan dengan baik akan menjadikan susu tahan dengan lebih lama.
    • Susu yang tidak disimpan didalam peti sejuk hanya dapat bertahan selama 4 sehingga 8 jam sahaja.
    • Susu ibu yang disimpan di dalam peti sejuk tahan selama 2 hari – 3 hari.
    • Susu ibu yang disimpan di dalam pembeku tahan selama 3 bulan.
    • Jika ibu menyimpan susu di dalam tempat pembeku yang mempunyai suhu sehingga -1 darjah celcius, susu boleh tahan selama 1 tahun.
    Ada dikalangan ibu yang pernah saya jumpa sanggup menyimpan susunya untuk bayi mereka walaupun bekerja diluar negara seperti di singapura.
    CARA MENYIMPAN SUSU IBU
    • Simpan susu dalam peti sejukBasuh tangan dengan sabun dan air bersih
    • Simpan dalam kuantiti yang mencukupi( yang diperlukan sahaja) dalam satu bekas untuk sekali penyusuan
    • Labelkan bekas dengan nama dan tarikh
    • Jika susu dibekukan tinggalkan sedikit ruang udara
    • Guna susu yang terdahulu

    Monday 18 April 2011

    Lagu-Lagu Kegemaran Anakku Raihah....

    Raihah suke sesgt lagu-lagu ni....



    Lagu Alif Baa Taa


    Lagu Nasyid Nama Binatang

    Saya ada kuda...

    Ciri-ciri botol susu bayi adalah "BPA Free" - susulan pengharaman botol BPA oleh kerajaan Malaysia

    Kerajaan telah memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi “Bisphenol A” (BPA), berkuat kuasa 1 Mac 2012.

    Oleh itu, pasti ramai ibu2 diluar sana yang begitu ingin tahu ciri2 botol susu bayi yang bebas “Bisphenol A” (BPA free) - Sumber Kementerian Kesihatan

    a) Kenalpasti Botol Susu Bayi Polikarbonat (BPA)
    Botol susu bayi polikarbonat bersifat keras dan lutsinar di mana ianya mengandungi Bisphenol A (BPA). Botol susu ini boleh dikenalpasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi seperti berikut:
    Kebiasaanya ada label PC dan 7

    Botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau bebas BPA. Pengguna juga boleh membuat pilihan awal dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat kepada botol susu bayi yang bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing. Terdapat pelbagai alternatif botol susu bayi di pasaran yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA), kaca dan lain-lain.



    Antara produk "BPA free" - banyak lagi rasanya produk2 lain

    b) Pengendalian Botol Susu Bayi Polikarbonat (Botol susu yang mengandungi BPA)
    • Steril botol susu bayi polikarbonat mengikut arahan pengendalian yang terdapat pada label atau yang diberikan oleh pengeluar sekiranya ada. Jika tiada, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama 5 hingga 10 minit.
    • Elakkan menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
    • Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus yang lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
    • Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan sekiranya terdapat kesan calar atau rosak, botol susu perlu diganti. Sekiranya tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap 6 bulan.

    Selain tu utk makluman semua, botol air yang ada BPA ni banyak ada kt pasaran, kalau tengok label bawah botol ada tanda PC(7). Berdasarkan makluman kementerian kesihatan, botol BPA ni tak sesuai utk baby/kanak2 je. So kita yg org dewasa ni masih boleh guna.

    Sunday 17 April 2011

    Bagaimana Mengetahui Bayi Anda Bersedia Untuk Makan....

    Apabila bayi anda telah berusia 6 bulan anda boleh menguji kesediaannya menerima makanan baru dengan cara:
    • Bayi anda boleh menegakkan kepala apabila didudukan
    • Menolak lidahnya ke atas dan ke luar apabila diletakkan makanan ke dalam mulutnya
    • Anda boleh menguji dengan meletakan sedikit makanan pada hujung lidahnnya, jika bibirnya ditutup atau bayi menolak ,ini bermakna bayi anda belum bersedia
    • Bayi anda mungkin meleleh air liur, membuka mulut apabila melihat anda makan
    • Bayi anda menangis dengan lebih kerap antara waktu makan, ini menunjukkan pemberian susu tidak lagi mencukupi bagi bayi anda!

    Tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda mendapat susu yang mencukupi

    Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya jika bayi andamendapat susu yang secukupnya, terutamanya jika dia mahu menyusu setiap masa atau ternampak tidak puas selepas menyusu. Apabila telah lepas satu atau dua hari pertama, bayi anda akan selalu berasa lapar. Dan kemungkinannya memang dia lapar, sebab susu badan selesai dicernakan dalam dua jam selepas dia menyusu. 

    Kebanyakan bayi baru lahir mahu menyusu lapan hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya. Ramai bayi yang masih menyusu 10-12 kali sehari selepas minggu pertama. Bayi akan terus menyusu begini sehingga satu minggu lagi sebelum mengurangkan penyusuan ke lapan hingga 10 kali sehari. Susukan bayi anda sekerap yang dia kehendaki. Anda dapati bahawa anda tidak boleh lagi melakukan kerja harian biasa dalam beberapa minggu pertama semasa menyempurnakan rutin menyusukan bayi. 

    Malangnya, menimbang berat badan bayi pada beberapa hari pertama tidak akan menyakinkan anda, sebab berat badan bayi baru lahir selalunya turun lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama atau seterusnya. Walau bagaimanapun, bayi anda sepatutnya menambah berat badan selepas itu, dan jika anda menimbangnya semula pada hari ke-10 hingga ke-14, anda akan mendapati berat badan bayi anda sudah pulih kepada berat lahirnya. 

    Terdapat beberapa cara untuk mengukur jika bayi anda menyusu secukupnya, dan terdapat juga tanda-tanda yang dia tidak menyusu secukupnya. Penyahidratan dalam bayi baru lahir jarang berlaku tetapi anda perlu mengetahui tanda-tanda bayi menyusu dengan sempurna supaya anda boleh menghubungi doktor anda jika terdapat sebarang keadaan yang tidak menyenangkan. Ini termasuklah: 

    • Bayi anda menyusu lapan hingga 10 kali sehari pada dua atau tiga minggu pertama. 
    • Buah dada anda sudah melepaskan susu sepenuhnya dan berasa lebih lembut selepas penyusuan. 
    • Kulit bayi anda berasa tegang – ia akan memantul semula apabila dicubit. 
    • Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya enam kali tukaran lampin basah dalam masa 24 jam. (Lebih mudah untuk mengetahui lampin biasa yang basah daripada lampin pakai buang yang basah.) Urin bayi anda akan berwarna jernih dan tidak berbau. 
    • Kelihatan bayi menelan semasa penyusuan. 
    • Najis bayi anda berwarna kuning gelap atau sering gelap, atau najis semakin berwarna cerah pada hari kelima selepas kelahiran. 

    Wednesday 13 April 2011

    Tips Penjagaan Bayi ( part II )

    Tips penjagaan bayi part II. Senang dan mudah untuk difahami. Nampak seperti lawak juga, tetapi bukankah itu betul..:).













    Tips Penjagaan Bayi (part I)

    Ilustrasi bergambar ini sangat sesuai untuk bakal-bakal ibu dan bapa tentang penjagaan bayi.
    Nampak ringkas, tetapi senang untuk difahami..:). dan kadang tu, nampak seperti lawak pula..:)











    Didik Anak Dengan Naluri Kasih Sayang

    Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah ruah. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang ia sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan si ayah, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak.

    Naluri kasih sayang tentunya menjadi bekal pendorong dalam mendidik anak. Bayangkan jika manusia, terutamanya ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak-anak. Mereka akan melihat anak-anak seperti mereka melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap si anak sebagai beban yang menyusahkan. Tentunya berat untuk mereka mendidik, bahkan menjaga mereka. Bersyukurlah kepada Allah yang mengurniakan rasa sayang kepada anak dan sekelian kanak-kanak. Inilah bekal motivasi semulajadi dalam kita mendidik anak-anak.

    Di mana letaknya kasih sayang?


    Tentunya ia soalan yang sukar untuk ditanggapi. Payah untuk kita mengesan di mana letakkan rasa sayang.

    Umum mempercayai ia terletak di hati. Hati di sini bukannya hati fizikal. Bukan juga jantung. Hakikatnya ia adalah satu perasaan halus yang ada di sanubari manusia. Rasa semulajadi yang menyuntik bayu damai dan bahagia. Inilah nikmat Allah yang indah. Allah jadikannya bukan sia-sia. Tujuannya, agar rasa kasih sayang itu digarap sebagai pendorong ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak.

    Kasih sayang mengubah persepsi seorang ibu dan bapa terhadap anak. Daripada satu beban yang menyulitkan, menjadi satu cahaya mata yang membahagiakan. Umpamanya, seorang bapa yang mempunyai ramai anak, kadang-kadang rasa terbeban dengan tanggungjawab yang semakin bertambah dan perbelanjaan yang besar. Ibu pula kadang-kadang terlintas betapa sakitnya mengandung dan melahirkan anak-anak seorang demi seorang. Betapa letihnya menjaga dan melayan kerenah di anak. Tetapi setelah mendengar tangisan pertama anak yang lahir maka susutlah beban yang terasa. Setelah diamati wajah barisan anak-anak yang sedang nyeyak, maka hilanglah keletihannya. Apabila menyaksikan anak-anak bermain riang di taman, maka luputlah kesakitan lampau. Apa lagi jika si anak menjadi seorang yang soleh dan berjaya. Semua senario ini adalah nikmat kasih sayang semulajadi kurniaan Allah kepada kita.



    Naluri kasih sayang dan peranannya dalam pendidikan anak-anak

    Dalam konteks pendidikan, naluri kasih sayang ini dapat berperanan dalam tiga keadaan iaitu:
    Pertama, Allah menjadikan naluri kasih sayang ini agar manusia menjadikan usaha mendidik anak itu satu yang menyeronokkan. Sambil girang menimang anak si bapa boleh menyelitkan acah-acahnya dengan unsur tarbiyah. Sambil leka mendodoinya, si ibu boleh mengalunkan lagu-lagu yang membangkitkan jiwa, iman dan semangat juang. Sambil seronok bergurau senda, bertempuk tampar, si ibu dan ayah boleh melatih mereka erti kerjasama dan mementing diri, erti timbang rasa dan keegoan, erti ketaatan dan keengkaran, erti sopan dan biadap, serta erti dosa dan pahala. Sambil bahagia bersiar-siar dan berkelah, anak-anak boleh diajar soal-soal ketuhanan, tatacara ibadah, keluhuran akhlak dan teknik bermasyarakat. Ringkasnya, segenap aktiviti yang menyeronokkan itu boleh berubah wajahnya menjadi medan tarbiyyah insaniyah.

    Kedua, naluri kasih sayang mencipta ketabahan dan kegigihan mendidik buat ibu dan bapa. Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Terugan demi teguran. Tapi anak tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka tika berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha tarbiyah itu secara berterusan dengan penuh kesabaran.

    Ketiga, fitrah kasih sayang dalam jiwa manusia juga mendorong pengorbanan luar biasa si ibu dan bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak. Bagi si ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

    Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Seorang wanita telah datang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah memberikan kepadanya tiga biji kurma. Kemudian, wanita itu memberikan dua biji kurma kepada dua orang anaknya. Sebiji lagi dipegang untuk dirinya. Setelah kedua-dua anak itu selesai makan kurma masing-masing, mereka pun meminta kurma yang masih ada di tangan ibunya. Lalu si ibu membahagikan kurma itu kepada dua, lantas memberikan kepada setiap seorang anaknya sebelah kurma. Apabila datang Rasulullah s.a.w. maka Aisyah menceritakan hal itu kepada Baginda. Lalu Baginda pun bersabda kepada Aisyah: “Kenapa pula adinda hairan dengan apa yang berlaku itu? Sebenarnya Allah telah merahmati si ibu itu sebagaimana dia merahmati anak-anaknya.”

    Dalam kasih ada ujian

    Walau bagaimana pun, kasih sayang kepada Allah tidak dapat mengatasi kasih sayang kepada anak-anak. Dalam kasih ada ujian. Kadang-kadang ibu bapa diuji dengan dua persimpangan. Antara perintah Allah dan rasa sayang pada anak. Tentunya yang patut dipilah ialah perintah dan redha Allah taala. Pada zahirnya, memilih perintah Allah bermakna ‘mengorbankan’ anak. Tetapi hakikatnya, itulah kemanisan dan keindahan dalam perasaan kasih kepada si anak. Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim terpahat kukuh sebagai bukti bahawa kadang-kadang naluri kasih sayang itu terpaksa dilupakan demi perintah Allah.

    Mungkin kisah Syaikh Hasan Al-Banna, seorang tokoh gerakan Islam abad ini boleh dijadikan contoh. Beliau adalah pemimpin dakwah yang mengorbankan seluruh tenaga, masa dan kudratnya untuk perjuangan Islam. Beliau sentiasa menjadikan sambutan Hari-hari Raya atau hari kebesaran sebagai peluang untuk mendekati golongan muda. Pada suatu Hari Raya, anaknya Saiful Islam telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir mati. Isterinya berkata: Kalau boleh, kanda bersama-samalah keluarga pada hari raya ini. Tambahan pula anak kita sedang sakit” Beliau menjawab: ’Sekiranya Allah bermurah untuk menyembuhkan anakku daripada penyakit, maka bagiNya segala pujian dan kesyukuran. Namun, jika Allah mentakdirkan dia meninggalkan kita, maka datuknya telah tahu mana jalan untuk ke kubur. Lalu dia membaca firman Allah dari ayat 24 Surah Al-Taubah yang bermaksud:

    “Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarha kamu, harta kekayaan yang kamu perolehi, barang perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat sukainya lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasulnya serta jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah memberikan perintahnya sedang Allah tiada memberi petunjuk kepada orang-orang yang jahat”

    Kasih sayang itu rahmat

    Tegasnya, naluri kasih sayang itu adalah satu rahmat Allah yang amat berharga. Setitis nikmat kasih sayang ini, memberikan kita selaut manfaat dan kebaikan khususnya dalam usaha mendidik anak. Namun dalam keindahan asyik maksyuk kasih sayang kepada anak tersirat ujian kepada ibu dan bapa. Ujian yang perlu dilepasi bagi membuktikan bahawa kasih kepada Allah adalah mengatasi kasih sayang yang lain. Bahkan hakikatnya, kasih kepada anak itu berakar umbi daripada kasih, sayang serta rahmah Allah Azzawajalla.